AYAM MASAK KICAP SAMBAL…ANAK-ANAK PUN BOLEH…

Kongsikan...
Ayam Masak Kicap Sambal

Sebut saja ayam masak kicap atau ayam kicap, pasti anak-anak gembira mendengarnya. Apa tidaknya, ayam masak kicap ni memang menjadi makanan kegemaran kanak-kanak.

Malah ada sesetengah daripada mereka cukup sekadar goreng ayam, kemudian cucur kicap di atasnya, dah memadai. Memang berseleralah anak-anak makan nasi, emak-emak pun gembira melihat telatah anak-anak mereka makan.

Sebenarnya menyediakan ayam masak kicap bukan semudah itu, perlu kreatif dalam menambah bahan-bahan lain agar anak-anak tidak mudah jemu. Sebut saja nak masak ayam kicap, pasti keluar daripada mulut mereka perkataan “Hoooorayyyy”.

Apa tidaknya, kehitaman warna kicap apabila bersalut dengan ayam yang telah digoreng akan nampak berkilat dan terserlah kesedapannya serta mengiurkan anak-anak.



Makanan yang sedap, sudah menjadi lumrah dan merupakan sebahagian daripada dunia mereka terutama dalam proses membesar.

Kali ini kami nak berkongsi masakan kegemaran kanak-kanak iaitu ayam masak kicap berperisa sambal sederhana pedas.

Ianya tidaklah pedas sangat, sekadar penyedap rasa yang dicampur pada kuah kicap bagi membangkitkan bau yang harum.

Tambahan lagi, dengan perisa ini kuah ayam masak kicap tersebut akan menjadi lebih pekat dan mudah menyerap masuk pada isi ayam yang telah digoreng terlebih dahulu sebelum itu.

Kami menggunakan ibu sambal sebagai bahan penyedap bagi menghasilkan ayam masak kicap sambal yang simple dan ringkas. Memang sesuai sekali untuk ibu-ibu yang sibuk, keluar rumah seawal pagi dan kembali ke rumah sudah agak malam.

Bahan-bahanya ialah:

– 1 ekor ayam dipotong halus

– 1 ulas bawang putih, dimayang

– 1 labu bawang besar yang dipotong

–  Sedikit halia

– 1 biji tomato dihiris nipis

– Kicap

– 2 sudu ibu sambal



Cara memasaknya:

Bawang putih ditumis, dikuti bawang besar dan halia. Masukkan kicap dan tambah sedikit air. Masukkan ibu sambal dan kacau sehingga sebati. Akhir sekali masukkan ayam yang telah digoreng, diikuti buah tomato. Garam dan gula secukup rasa. Biarkan mendidih beberapa minit sebelum mengangkatnya.

Selamat mencuba ayam masak kicap ringkas yang istimewa ini, pastinya tidak berapa pedas. Memang sesuai untuk anak-anak.

Rujuk demo video masakan ayam kicap sambal untuk lebih memahaminya.– D’APBROZE



Ketahui rahsia memasak paling mudah dan cepat. 5 Minit Jer Siap! Lebih 20 Variasi masakan. Klik Di sini Sekarang




Kongsikan...

AYAM MASAK MERAH & JONG KAKO KAMPUNG…

Kongsikan...
Ayam Masak Merah Ala Kenduri

Ayam Masak Merah merupakan salah satu menu utama  pada majlis  kenduri di kampong pada suatu ketika dulu. Hidangan seolah-olah tidak lengkap tanpanya.

Kebiasaannya Ayam Masak Merah ini dihidangkan bersama daging masak kurma dan gulai dalca untuk satu hidangan. Kesemua lauk tadi dipotong dalam ketulan besar khas untuk dimakan 5 orang kecuali gulai dalca yang sedia ditambah.

Kebiasaanya seekor ayam akan dipotong empat sebelum dimasak Ayam Masak Merah dalam kuantiti yang banyak menggunakan kawah secara gotong-royong.

Itulah keunikan masakan tradisional Melayu pada satu masa dahulu, semuanya dilakukan secara sukarela. Ikatan ukhwah sesama mereka semakin erat dengan kedengaran hilai-tawa pada setiap majlis kenduri yang diadakan sempena majlis perkahwinan.

Kini suasana sebegini sudah tiada lagi, peredaran zaman yang dilalui menyebabkan semuanya berubah. Penyediaan makanan telah diserahkan kepada penyedia perkhidmatan katering, manakala hidangan 5 orang semeja ditukar kepada stail buffet.



Tiada lagi pemandangan tetamu yang hadir terus ke meja panjang yang disediakan untuk mencukupkan bilangan 5 orang, sebelum pekerja lelaki sukarela mengangkat hidangan menggunakan dulang besar.

Gelaran yang diberikan kepada mereka di sesetengah tempat berbeza, seperti contoh di Kelantan dipanggil ‘Jong Kako’. Perwatakan mereka boleh dikenali dengan menyelempangkan tuala kecil ‘Good Morning’ bewarna putih di bahu masing-masing.

Mereka akan merai tetamu yang hadir, memastikan lauk-pauk dan nasi yang disediakan mencukupi. Pendek kata mereka juga yang menjadi pelayan mewakili tuan kerja atau majlis.

Baik atau buruk layanan yang diberikan, menggambarkan layanan yang diberikan oleh tuan majlis kepada tetamu yang hadir.

Tugas tuan rumah hanya menyambut semasa ketibaan dan bersalaman dengan tetamu ketika ingin pulang selepas selesai menikmati hidangan.

Manakala tugas menyediakan Ayam Masak Merah pula dilakukan oleh kaum wanita, bermula daripada proses menyiang dengan seekor ayam dipotong kepada 4 bahagian. Kebiasaanya 100 hingga 200 ekor ayam disediakan berperingkat-peringkat.

Ayam-ayam yang telah dipotong tadi digaul dengan garam kunyit sebelum digoreng dalam kuali yang besar.

Sekumpulan kaum ibu yang lain pula sibuk memotong cili kering, mengupas bawang merah dan bawang putih untuk dikisar sebelum ditumis menjadi ibu sambal iaitu bahan asas untuk memasak  Ayam Masak Merah.

Ayam-ayam yang telah siap digoreng tadi, dimasak sekali lagi dengan memasukkanya ke dalam ibu sambal.

Baru-baru ini kami memasak Ayam Masak Merah dengan kaedah di atas menggunakan ibu sambal.

Satu ekor ayam saiz sederhana dipotong 4 bahagian, dilumur garam kunyit, kemudian digoreng sederhana garing.

Selepas itu satu labu hirisan Bawang Holland ditumis, kemudian 4 sudu besar ibu sambal dimasukkan. Sedikit air, garam dan gula ditambah, dikacau sehingga sebati.

Akhir sekali, kami masukkan ayam yang telah digoreng tadi, Ayam Masak Merah telah tersedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba resipi Ayam Masak Merah ringkas, pasti menjilat jari. – D’ APBROZE

Ketahui rahsia memasak paling mudah dan cepat. 5 Minit Jer Siap! Lebih 20 Variasi masakan. Klik Di sini Sekarang

Kongsikan...

RM21 SEBIJI ROTI CANAI DI NEW ZEALAND…

Kongsikan...

Sambungan artikel sebelum…

Pemandangan bandar Auckland dari Viaduct Harbour

Selepas 9 jam lebih penerbangan terus dari KLIA kami berdua tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland, jam 12.30 pagi waktu tempatan, 21 Oktober, 2017. Kami hanya membawa 3 bagasi sahaja iaitu dua pakaian, manakala satu lagi berisi makanan segera, bahan-bahan untuk memasak dan sedikit ubat-ubatan seberat 7 kg.

Apabila hari siang kami menaiki kenderaan awam untuk menginap di City Lodge Accomodation, Vincent Street, Auckland. Bagi megalas perut mee segera adalah menu utama setibanya di situ.

Terdapat satu dewan makan besar yang turut menyediakan kemudahan memasak seperti dapur, periok, kuali, pinggang mangkok dan lain-lain lagi di tingkat paling bawah hotel berkenaan. Manakala di dalam bilik penginapan tersedia peti sejuk satu pintu sederhana besar.


Seorang pekerja hotel warga tempatan berdarah kacukan Filipina memberi sedikit penerangan mengenai bandar Auckland dan menghulurkan kami sekeping peta bagi memudahkan kami bergerak.   

Berpandukan peta yang diberi dan Google Maps, kami berjalan kaki sejauh kira-kira dua setengah kilometer menuju ke Forte Apartment, Symonds Street, untuk bertemu dengan anak lelaki yang belajar di Universiti Auckland. Pemergian ke Auckland sebenarnya dirahsiakan semata-mata untuk membuat satu kejutan.

Setelah bertemu dengan anak, kami dibawa berjalan sekitar pusat bandar dan singgah makan di sebuah medan selera, di Queen Street. Kawasan tersebut ada menjual pelbagai makanan Asia antaranya makanan halal Malaysia iaitu Gerai Uncle Man’s.

Pemandangan Sky Tower di Victoria Street pada pukul 8 malam waktu tempatan

Antara makanan yang terdapat di gerai itu ialah nasi lemak, nasi ayam, laksa, roti canai dan pelbagai masakan bergoreng. Kami membuat pesanan, masing-masing satu nasi lemak, nasi ayam dan nasi goreng. Bayaran dibuat sebelum makanan dihantar iaitu NZ$40 (RM120). Kami turut membuat pesanan tiga gelas teh tarik harganya NZ$21 (RM63). Setelah makanan yang dipesan itu tiba kami makan dengan penuh selera, maklumlah tidak menjamah nasi hampir satu setengah hari.

Roti canai yang dijual di situ dengan harga NZ$7 (RM21) menarik perhatian kami, apa tidaknya, ramai ‘mat salleh’ yang makan di gerai itu. Boleh dikatakan Gerai Uncle Man’s dan sebuah lagi gerai makanan Thai (tidak halal) menjadi tumpuan warga tempatan.

Pada sebelah malamnya pula perut kembali meminta-minta, nasi goreng sepinggan macam tidak mencukupi. Sekali lagi kami ke Karangahape Road tidak jauh dari City Lodge Accomodation tempat kami menginap. Macam biasalah harga untuk dua pinggang kue teow goreng NZ$28 (RM84).

Memang hati rasa puas bila dapat makan makanan yang megenyangkan, nak harapkan mee segera setiap hari, di Malaysia pun tekak jarang menelannya. Kami tidak kisah walaupun terpaksa membayar sejumlah itu untuk makanan yang ‘simple-simple’ atau ringkas. Kalau tidak sampai bila-bila pun kita tidak akan kenal tempat orang.


Cuma seperkara perlu dingat, apabila kita melancong ke negara orang, sudah pasti setiap saat yang kita lalui di sana perlu dimaksimakan aktivitinya kerana masanya agak terhad. Oleh itu ianya memerlukan kepada tenaga yang lebih, makan mesti cukup dan masa tidak terbuang begitu saja semata-mata ingin mencari restoran halal.

Atas kesedaran inilah kami mengambil keputusan pada hari kedua untuk membeli bahan mentah halal dan memasaknya sendiri. Kebetulan pula kami ada membawa enam botol ibu sambal untuk memasak menu yang biasa-biasa. Keesokan harinya, kami ke Pasar Raya PAK ‘n SAVE, Mt Albert, membeli sedikit bekalan untuk dimasak bersama pelajar-pelajar Malaysia dan selebihnya untuk bekalan kami sendiri.


Antara menu ‘simple-simple’ yang dimasak selama dua hari bersama mereka ialah kari kepala ikan salmon, gulai kambing, udang pedas, sambal ikan bilis, ayam pedas, udang kukus bertelor dan goreng sayur kacang.

Manakala makanan yang tidak cepat rosak seperti udang dan ayam pedas, sambal ikan bilis beserta nasi dimasukkan dalam bekas plastik sebelum kami menjelajah Pulau Utara pada hari keempat.

Putaruru Blue Spring

Pada sebelah pagi kami makan dengan secukupnya sebelum meneruskan perjalanan dengan kereta selama hampir tiga jam dari Auckland ke Putaruru Blue Spring. Tengaharinya selepas menjamah sedikit makanan kami terus memandu ke Huka Fall yang mengambil masa hampir dua jam. Setelah hampir dua jam menikmati pemandangan yang cantik di situ, hari sudah lewat petang.

Kami meneruskan perjalanan ke Tasik Taupo dan menginap di Camellia Court Motel dengan kadar sewa NZ$90 (RM270) untuk tiga orang. Pada sebelah malamnya bekalan makanan dipanaskan menggunakan ketuhar dan dapur yang tersedia ada di dewan makan untuk makan malam.

Bunga Tulip memenuhi pembahagi jalan di bandar Rotorua

Keesokan paginya sebelum keluar daripada motel tersebut, sekali lagi kami memanaskan makanan yang dibawa dan makan sepuasnya sebelum meneruskan perjalanan ke bandar Rotorua untuk melawat kawasan sekitar dan seterusnya ke Redwood Forest.

Pada sebelah tengahari kami teruskan pemanduan ke Matamata untuk melihat dari dekat Hobbiton Movie Set, hampir tiga jam kami berada di situ. Selepas itu pada lewat petang kami meneruskan perjalanan untuk kembali ke Auckland.

Hobbiton Movie Set

Sebelum berangkat pulang ke Malaysia sekali lagi kami memasak untuk beberapa pelajar Malaysia yang menetap di Forte Apartmen yang terletak bersebelahan dengan Universiti Auckland.
 
Perasaan gembira jelas terbayang di wajah mereka apabila menikmati masakan Malaysia. Malah ada yang terus balik ke apartmen selepas kelas tamat walaupun sejam selepas itu ada kelas lain pula. Mereka makan dengan penuh berselera walaupun makanan yang disediakan agak ‘simple’ dan ringkas. Sudah lama tidak menikmati makanan sebegini, itulah ungkapan yang keluar daripada mulut mereka.


Mee segera dan ibu sambal yang lebih kami hadiahkan kepada mereka sebelum berangkat pulang ke tanah air. Sesungguhnya peluang berada bersama mereka amat bermakna sekali. Mujurlah ibu sambal dibawa bersama sebagai bahan masakan. – D’APBROZE

Ketahui rahsia memasak paling mudah dan cepat. 5 Minit Jer Siap! Lebih 20 Variasi masakan. Klik Di sini Sekarang
Kongsikan...

CARA PALING MUDAH MASAK RENDANG…

Kongsikan...

Sebut saja RENDANG, pasti ramai yang beranggapan ianya merupakan makanan yang agak sukar dan remeh untuk dimasak. Satu stigma pada minda masyarakat kita hari ini, hanya generasi lama sahaja yang mampu memasaknya.

Apa tidaknya penyediaan bahan-bahannya amat rumit dan memasaknya mengambil masa yang lama. Tanggapan ini sebenarnya tidak tepat kerana ramai daripada generasi sekarang tidak mahu mencubanya walhal cara memasaknya agak mudah sama seperti masakan ‘simple’ atau ringkas yang lain.

Mereka lebih sinonim dengan masakan barat yang dikatakan berprestij dan glamor. Sesetengah individu beranggapan rendang hanya boleh dinikmati sekali setahun sahaja iaitu pada musim perayaan.

Itupun kalau berkesempatan balik kampung, kalau tidak rendang hanya menjadi santapan mata apabila melihat gambar-gambar yang berkemungkinan diposkan oleh sanak saudara di media-media sosial.

Mari kita masaknya untuk dijadikan hidangan istimewa bersama keluarga pada pagi raya nanti. Pasti ianya tidak lengkap kalau tidak dimakan bersama lemang.

Bahan-bahannya, 1 ekor ayam saiz sederhana besar, ibu sambal, halia, lengkuas, kerisik, santan, serai, daun limau purut dan daun kunyit.

Cara memasaknya, mula-mula panaskan lima (5) sudu ibu sambal, kemudian masukkan hirisan halia, lengkuas dan kerisik, diikuti sedikit air. Kacau hingga sebati, kemudian masukkan satu (1) ekor ayam yang sudah dipotong.

Selepas itu masukkan daun limau purut, serai, santan dan daun kuncit. Biarkan ianya mendidih sehingga hampir kering. Garam dan gula dimasukkan secukup rasa (rujuk video tutorial di bawah).

Kami yakin dalam masa 20 minit hidangan rendang ayam akan berada di atas meja. Mudahnyaaa…Macam tak percaya jerrr…Cuba laaaa. Selamat mencuba — D’APBROZE

Ketahui rahsia memasak paling mudah dan cepat. 5 Minit Jer Siap! Lebih 20 Variasi masakan. Klik Di sini Sekarang

 

Kongsikan...

KENAPA MAKANAN RINGKAS YANG DIMASAK DALAM KAWAH SEDAP…

Kongsikan...


Kaum bapa memasang khemah dan merebahkan lembu, manakala kaum ibu bergotong-royong kupas bawang merah, bawang putih dan potong cili kering untuk memasak makanan ‘simple’ atau ringkas.

Tradisi sebegini tidak sah tanpa kedengaran hilai tawa dan usik mengusik samada di kalangan kaum ibu dan tidak kurang juga kaum bapanya.

Malah suasana begini amat dinantikan oleh semua penduduk kampung, apa tidaknya inilah masa untuk berkumpul sambil mengeratkan silatulrahim.

Bagi teruna dan dara peluang ini tidak dilepaskan begitu sahaja, inilah masanya bagi teruna untuk mengintai si dara yang bakal dijadikan pasangan hidup. Manakala si dara pula berangan menaiki pelamin bersama pilihan hati dalam suasana yang lebih meriah lagi.

Dalam keriuhan suara usikan itu, bahan-bahan tadi ditumbuk menggunakan lesung atau dikisar dengan pengisar batu sebelum dimasak menjadi sambal tumis atau ibu sambal, iaitu bahan utama dalam setiap masakan masyarakat Melayu.

Semuanya ini dilakukan secara bergotong-royong dan sedikit pun tidak mengharapkan upah atas penat lelah yang dicurahkan.

Malah ada juga yang datang membantu membawa beras dan gula untuk disedekahkan sebagai kenduri arwah untuk ahli keluarga yang telah pun meninggal.

Itulah tradisi sehari sebelum majlis kenduri diadakan di kampung pada suatu ketika dahulu, ianya merupakan satu simbol keakraban masyarakat dahulu yang penuh dengan nilai-nilai murni.

Sementara itu di sebelah pihak lelaki, lembu yang rebah dilapah dan dipotong sebelum dimasak dengan kuantiti yang banyak dalam kawah besar menggunakan kayu api sebagai bahan bakar.  

Namun begitu masakan ‘simple’ atau ringkas ini rasanya tetap sedap, itulah kelebihan masakan warisan Melayu pada zaman dahulu. 

Kini masa sudah berubah mengikut peredaran zaman. Kaum wanita sibuk dengan tugasan masing-masing, tiada lagi masa untuk kupas bawang, potong cili, kisar dan menumis.

Tiada lagi kedengaran usik mengusik dan hilai tawa, tiada lagi intai mengintai antara teruna dan dara. Kerja-kerja itu telah diambil alih oleh kontraktor makanan, keaslian rasa hidangan seperti zaman dahulu adalah satu perkara subjektif untuk diungkaikan.

Apakah resipinya masih dibuat secara tradisional tanpa mengguna bahan pengawet bagi mengekalkan keasliannya?

Masih adakah sambal tumis atau ibu sambal warisan generasi dahulu untuk menghasilkan makanan ‘simple’ atau ringkas yang terserlah kelazatannya? — D’APBROZE

Ketahui rahsia memasak paling mudah dan cepat. 5 Minit Jer Siap! Lebih 20 Variasi masakan. Klik Di sini Sekarang
Kongsikan...
Scroll To Top