IKAN BAKAR
Ikan bakar sedap! Sanggup memandu lebih 100 kilometer semata-mata untuk menikmatinya. Satu kegilaan, sebut sahaja di mana ada medan ikan bakar sedap, mereka akan pergi.
“Alahhh bukannya jauh sangat sambil lepak dengan kawan-kawan. Dok rumah pun tak ada benda nak buat. 40 minit dah boleh sampai. Sekarang semua jalan highway. “, katanya seorang netizen.
Antara lokasi-lokasi menarik menyediakan ikan bakar sebagai menu utama ialah di Tanjung Lumpur, Kuantan, Umbai, Melaka, Bukit Malut, Langkawi, Seribong, Johor, Tawang, Kelantan, Pelabuhan Klang, Selangor, Bangi, Selangor, Jeram, Selangor dan lain-lain lagi.
Setiap hujung minggu terutamanya pada waktu malam boleh dikatakan kawasan-kawasan yang tersebut di atas akan dibanjiri dengan pengunjung sehinggakan ada sesetengah kedai pengunjungya terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan meja.
Kebanyakan pengunjung adalah terdiri mereka yang sudah berkeluarga dan ada juga segelintir anak-anak muda bermotosikal.
Kenapa masyarakat kita gemarkan ikan bakar? Adakah rasanya? Sambalnya? Ikannya? Jawapannya adalah subjektif dan terpulang kepada setiap individu untuk menjawabnya.
Kajian menunjukkan ramai lelaki berumur bawah 50 tahun mengalami masalah kolestrol tinggi yang merupakan punca utama kepada masalah sakit jantung.
Gaya pemakanan yang tidak betul adalah penyumbang utama kepada masalah ini. Sekiranya kolestrol dalam badan sebanyak 240mg/dl, anda memang berisiko tinggi.
Oleh itu ikan merupakan makanan pilihan kerana ianya kaya dengan protein, omega-3, asam lemak, vitamin (B2 dan D), fosfos, kalsium, mineral dan simpanan minyak ikan yang amat tinggi bagi mengekalkan tubuh yang sihat.
Antara masakan yang senang, mudah dan sedap ialah ikan bakar. Masak ikan bakar ini ada pelbagai cara, antaranya bakar biasa, bakar berempah atau bersambal, bakar kunyit dan lain-lain lagi.
Ianya merupakan menu yang paling popular di kalangan masyarakat Malaysia sejak zaman berzaman lagi. Sesuai dimakan bersama nasi atau diratah begitu sahaja.
Justeru itu, restoran atau gerai menjual ikan bakar tumbuh bagai cendawan di seluruh negara. Malah ianya mendapat sambutan semua lapisan masyarakat termasuk pelancong-pelancong asing.
Menariknya kesemua restoran-restoran tersebut pasti meyediakan satu menu istimewa iaitu ikan bakar masak sambal.
Ikan bakar sambal ini boleh dimasak menggunakan pelbagai jenis ikan, antara ikan yang biasa diguna ialah ikan siakap, pari, jenahak, kembong, sebelah, merah, patin dan tilapia.
RESEPI IKAN BAKAR SEDAP
Kami ingin berkongsi dengan anda cara masak ikan bakar sambal kegemaran ramai paling sedap, paling murah dan paling ringkas.
Menariknya kos untuk membuatnya hanya Rm15 sahaja. Kami menggunakan ikan siakap seberat 1 kg berharga Rm13.
Rasanya tidak perlulah kami beritahu berapa harga ikan siakap seberat ini yang telah siap dibakar kalau berkunjung ke restoran-restoran ikan bakar. Bagi anda yang selalu berkunjung sudah pasti tahu harganya.
Ikan siakap yang telah dibelah dua seperti bentuk rama-rama diletakkan di atas daun pisang. Kemudian kami lumurkan 2 sudu ibu sambal sehingga rata pada semua bahagian.
Selepas itu kami tabur hirisan halia dan 2 batang serai yang telah diketuk dan tutup bahagian atas sekali lagi dengan daun pisang.
Sekarang ikan bakar bersambal atau berempah telah sedia untuk dipanggang di atas kuali selama kira-kira 15 minit.
Bagi memastikan ikan tersebut masak serata kami tutup kuali tersebut dengan penutup agar haba panas terperangkap di dalamnya.
Apabila penutup dibuka selepas 15 minit, bau sambal yang harum semerbak menusuk ke dalam hidung.
Kombinasi sambal dan aroma daun pisang yang wangi menyebabkan tiba-tiba perut terasa lapar apabila melihat warnanya yang begitu mengiurkan.
Selamat mencuba resipi ikan bakar ringkas dan mudah, pastinya anda seisi keluarga tidak akan berkunjung ke mana-mana restoran ikan bakar lagi selepas ini. – D’APBROZE
Ketahui rahsia memasak paling mudah dan cepat. 5 Minit Jer Siap! Lebih 20 Variasi masakan. Klik Di sini Sekarang |