LEKA MENIKMATI SALMON…BUMBUNG KERETA MEMBEKU KETIKA MELANCONG KE NEW ZEALAND

Kongsikan...

MELANCONG KE NEW ZEALAND

Melancong ke New Zealand
Kelibat ikan salmon pada permukaan air, di High Country Salmon, Twizel

Kelibat ikan-ikan salmon sepanjang satu hingga dua meter menyambar palet di permukaan air merupakan tarikan utama ke pusat ternakan High Country Salmon di Twizel, semasa melancong ke New Zealand.

Lantas membuat kami berfikir bagaimana untuk memasaknya dengan cara mudah dan ringkas ketika dalam perjalanan.

Kebiruan air Tasik Wairepo Arm yang menempatkan sangkar-sangkar salmon juga memukau pandangan mata.

Kami singgah di sini, selepas pemanduan kira-kira satu jam dari Tekapo menuju ke Wanaka setelah menginap selama dua malam di situ.

Melancong ke New Zealand
Pemandangan sangkar Salmon High Country, Twizel. Gambar : Google
Melancong ke New Zealand
Pintu masuk ke Sangkar Salmon High Country, Twizel

Selain itu, hamparan permaidani putih pada puncak pergunungan Mt. Cook mengamit mata memandang.

Ianya menjadi satu tarikan kepada pencinta alam yang berkunjung ke Pulau Selatan pada musim sejuk dari bulan Jun hingga Ogos.

Ketika berada di atas platfom kayu di dalam tasik, kelihatan ramai pelancong memberi makan ikan salmon di sebuah kolam khas mengunakan palet yang disediakan secara percuma.

Melancong ke New Zealand
Pengunjung memberi makan ikan salmon di Sangkar Salmon High Country, Twizel

Selepas terhibur dengan gelagat salmon menyambar palet di permukaan air, pelancong-pelancong mengambil kesempatan menikmati makanan yang berasaskan salmon di kafe terapung.

Kafe tersebut boleh menempatkan kira-kira 100 pengunjung pada satu-satu masa.

Kami turut beratur memesan makanan ringkas iaitu empat burger salmon dan masing-masing satu kari salmon bersama nasi dan mee sup salmon.

Harganya agak berpatutan, di mana kami membayar NZ$60 (RM180) untuk enam pesanan berkenaan.

Sekiranya anda berkunjung ke sini apabila melancong ke New Zealand nanti, jangan lupa untuk singgah dan menikmati pelbagai menu salmon di sini.

Melancong ke New Zealand
Restoran High Country Salmon, Twizel
Melancong ke New Zealand
Makanan berasaskan salmon di High Country Salmon, Twizel

Walaupun terpaksa membayar dengan harga yang tinggi berbanding dengan Ringgit Malaysia untuk menikmati salmon di sini. Kalau tidak sampai bila-bila pun kita tidak akan kenal tempat orang.

Sebelum meneruskan perjalanan kami turut membeli empat keping isi ikan salmon segar berharga NZ$53 (RM159).

Kami bercadang untuk memanggang secara ringkas dan mudah menggunakan ibu sambal yang dibawa khas dari Malaysia.

 

MELANCONG KE NEW ZEALAND, MASAK SALMON

Sesampainya di motel penginapan di Wanaka, jam menunjukkan pukul 7 malam dan suhu mencecah negatif 1 darjah selsius.

Perjalanan sejauh 201 km selama empat jam itu sungguh memenatkan kerana kami singgah di beberapa tempat menarik iaitu Tasik Pukaki, High Country Salmon, Clay Cliff dan Lindis Pass.

Oleh kerana perut mula terasa lapar, kami bergegas ke dapur motel berkenaan untuk memasak nasi dan memanggang ikan salmon yang dibawa bersama.

Wah!!! Isi salmon yang segar dan berkilat itu, baunya harum semerbak bila disapu dengan ibu sambal.

Malah ada di antara penghuni lain terutamanya ‘Mat Saleh’ yang sedang menyediakan makanan berpaling ke arah kami ketika salmon berkenaan diperat.

Setelah selesai disapu kami terus memasukkan salmon itu ke dalam ketuhar selama kira-kira 20 minit.

Ternyata salmon segar itu menjadi bertambah manis apabila ibu sambal berkenaan sebati dengan isi salmon tadi.

Melancong ke New Zealand
Kepingan isi ikan salmon yang siap dipanggang menggunakan ibu sambal di Wanaka

Kepingan isinya yang pejal membuatkan kami leka menikmatinya tanpa menyedari air yang melekat pada bumbung kenderaan kami mula membeku menjadi ais.

Sesungguhnya kombinasi salmon segar bersama ibu sambal yang dimasak secara ringkas dan mudah, membuat kami lupa sejenak cuaca yang semakin sejuk di Wanaka sehingga mencecah negatif tiga darjah selsius.

Pengalaman memanggang salmon dalam cuaca sejuk menjadikan percutian kami ketika melancong ke New Zealand amat bermakna sekali. – D’APBROZE

Melancong ke New Zealand
Air pada bumbung kereta membeku dalam cuaca sejuk di Wanaka

 

Ketahui rahsia memasak paling mudah dan cepat. 5 Minit Jer Siap! Lebih 20 Variasi masakan. Klik Di sini Sekarang
Kongsikan...

BELI MAKANAN MENTAH HALAL KETIKA MELANCONG KE NEW ZEALAND

Kongsikan...

MELANCONG KE NEW ZEALAND

Melancong ke New Zealand
Rak makanan mentah halal di salah sebuah pasar raya ketika melancong ke New Zealand

Melancong ke New Zealand atau ke mana-mana sekali di luar negara yang penduduk Islam merupakan golongan minoriti akan berhadapan dengan masalah makanan halal.

Menyediakan makanan halal yang ringkas dan mudah adalah satu keperluan apabila melancong ke luar negara bagi yang beragama Islam.

Ianya bukan perkara yang sukar seandainya kita telah membuat persediaan yang lebih awal sebelum berangkat.

Kebanyakan negara-negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam makanan mentah seperti ayam dan daging yang dijual di pasar raya adalah tidak halal.

Kalau ada pun agak sukar bagi kita untuk mengenali jenama-jenama yang mendapat kelulusan halal kerana sesetengah pasar raya tidak menyediakan rak khas yang bertanda halal.

Melancong ke New Zealand
Makanan mentah halal di salah sebuah pasar raya ketika melancong ke New Zealand

Ketika melancong ke New Zealand selama lebih tiga minggu, kami dapati tidak semua pasar raya menyediakan rak khas halal walaupun berkunjung ke pasar raya yang sama di lokasi yang berbeza. 

Melancong ke New Zealand
Antara pasar raya yang menjual makanan mentah halal ketika melancong ke New Zealand

Contohnya Pasar Raya Park N’ Save di Mt. Albert, Auckland, ada menyediakan rak halal sedangkan di Taupo tidak pula menyediakannya dan begitu juga di bahagian selatan walaupun di pasar raya yang sama.

Oleh itu, cara yang paling mudah ialah dengan mengenal pasti jenama yang mendapat pengiktirafan halal daripada New Zealand Islamic Development Trust (NZIDT).

Antara jenama yang kami guna ialah TEGEL yang mengeluarkan ayam proses mentah dan pelbagai produk berasaskan ayam. Selain itu ianya juga turut menjual ayam panggang yang telah sedia untuk dimakan. Jenama ini agak senang dibeli di semua pasar raya seluruh New Zealand.

Melancong ke New Zealand
Antara jenama makanan mentah halal di salah sebuah pasar raya ketika melancong ke New Zealand

 

Melancong ke New Zealand
Antara jenama makanan mentah halal di salah sebuah pasar raya ketika melancong ke New Zealand

Selain itu, jenama BRINKS juga merupakan satu lagi syarikat yang mengeluarkan ayam proses halal tetapi ianya hanya boleh diperolehi di sekitar Auckland sahaja. Anda juga boleh merujuk naskah yang dikeluarkan oleh Pelancongan New Zealand tentang panduan halal: 

Melancong ke New Zealand
Antara jenama makanan mentah halal di salah sebuah pasar raya ketika melancong ke New Zealand

Kesimpulannya mengguna makanan dan barangan halal amat penting dalam kehidupan kita seharian. Mencari yang halal itu merupakan satu kewajipan bagi kita semua walaupun dalam menyediakan makanan ringkas semasa berada di luar negara – D’APBROZE

Ketahui rahsia memasak paling mudah dan cepat. 5 Minit Jer Siap! Lebih 20 Variasi masakan. Klik Di sini Sekarang

 

Kongsikan...

RM21 SEBIJI ROTI CANAI DI NEW ZEALAND…

Kongsikan...

Sambungan artikel sebelum…

New Zealand
Pemandangan bandar Auckland, New Zealand, dari Viaduct Harbour

Selepas 9 jam lebih penerbangan terus dari KLIA kami berdua tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland, New Zealand, jam 12.30 pagi waktu tempatan, 21 Oktober, 2017.

Kami hanya membawa 3 bagasi sahaja iaitu dua pakaian, manakala satu lagi berisi makanan segera, bahan-bahan untuk memasak dan sedikit ubat-ubatan seberat 7 kg.

NEW ZEALAND, AUCKLAND

Apabila hari siang kami menaiki kenderaan awam untuk menginap di City Lodge Accomodation, Vincent Street, Auckland, New Zealand. Bagi megalas perut mee segera adalah menu utama setibanya di situ.

Terdapat satu dewan makan besar yang turut menyediakan kemudahan memasak seperti dapur, periok, kuali, pinggang mangkok dan lain-lain lagi di tingkat paling bawah hotel berkenaan.

Manakala di dalam bilik penginapan tersedia peti sejuk satu pintu sederhana besar.

New Zealand
Bahagian dapur City Lodge Accomodation, Vincent Street, Auckland, New Zealand.

Seorang pekerja hotel warga tempatan berdarah kacukan Filipina memberi sedikit penerangan mengenai bandar Auckland dan menghulurkan kami sekeping peta bagi memudahkan kami bergerak.  

Berpandukan peta yang diberi dan Google Maps, kami berjalan kaki sejauh kira-kira dua setengah kilometer menuju ke Forte Apartment, Symonds Street, untuk bertemu dengan anak lelaki yang belajar di Universiti Auckland, New Zealand.

NEW ZEALAND, ROTI CANAI RM21

Pemergian ke Auckland, New Zealand, sebenarnya dirahsiakan semata-mata untuk membuat satu kejutan.

Setelah bertemu dengan anak, kami dibawa berjalan sekitar pusat bandar dan singgah makan di sebuah medan selera, di Queen Street.

Kawasan tersebut ada menjual pelbagai makanan Asia antaranya makanan halal Malaysia iaitu Gerai Uncle Man’s.

New Zealand
Pemandangan Sky Tower pukul 8 malam waktu tempatan, di Victoria Street, Auckland, New Zealand

Antara makanan yang terdapat di gerai itu ialah nasi lemak, nasi ayam, laksa, roti canai dan pelbagai masakan bergoreng.

Kami membuat pesanan, masing-masing satu nasi lemak, nasi ayam dan nasi goreng.

Bayaran dibuat sebelum makanan dihantar iaitu NZ$40 (RM120). Kami turut membuat pesanan tiga gelas teh tarik harganya NZ$21 (RM63).

Setelah makanan yang dipesan itu tiba kami makan dengan penuh selera, maklumlah tidak menjamah nasi hampir satu setengah hari.

Roti canai yang dijual di situ dengan harga NZ$7 (RM21) menarik perhatian kami, apa tidaknya, ramai ‘mat salleh’ yang makan di gerai itu.

Boleh dikatakan Gerai Uncle Man’s dan sebuah lagi gerai makanan Thai (tidak halal) menjadi tumpuan warga tempatan.

Pada sebelah malamnya pula perut kembali meminta-minta, nasi goreng sepinggan macam tidak mencukupi.

Sekali lagi kami ke Karangahape Road, Auckland, New Zealand, tidak jauh dari City Lodge Accomodation tempat kami menginap. Macam biasalah harga untuk dua pinggang kue teow goreng NZ$28 (RM84).

Memang hati rasa puas bila dapat makan makanan yang megenyangkan, nak harapkan mee segera setiap hari, di Malaysia pun tekak jarang menelannya.

Kami tidak kisah walaupun terpaksa membayar sejumlah itu untuk makanan yang ‘simple-simple’ atau ringkas. Kalau tidak sampai bila-bila pun kita tidak akan kenal tempat orang.

New Zealand
Membeli makanan mentah di Pak N Save, Mt Albert, Auckland, New Zealand

Cuma seperkara perlu dingat, apabila kita melancong ke negara orang, sudah pasti setiap saat yang kita lalui di sana perlu dimaksimakan aktivitinya kerana masanya agak terhad.

Oleh itu ianya memerlukan kepada tenaga yang lebih, makan mesti cukup dan masa tidak terbuang begitu saja semata-mata ingin mencari restoran halal.

NEW ZEALAND, MASAK MAKANAN SIMPLE

Atas kesedaran inilah kami mengambil keputusan pada hari kedua untuk membeli bahan mentah halal dan memasaknya sendiri.

Kebetulan pula kami ada membawa enam botol ibu sambal untuk memasak menu yang biasa-biasa.

Keesokan harinya, kami ke Pasar Raya PAK ‘n SAVE, Mt Albert, Auckland, New Zealand, membeli sedikit bekalan untuk dimasak bersama pelajar-pelajar Malaysia dan selebihnya untuk bekalan kami sendiri.

New Zealand
Antara makanan yang di masak bersama-sama pelajar Malaysia di Auckland, New Zealand

Antara menu ‘simple-simple’ yang dimasak selama dua hari bersama mereka ialah kari kepala ikan salmon, gulai kambing, udang pedas, sambal ikan bilis, ayam pedas, udang kukus bertelor dan goreng sayur kacang.

NEW ZEALAND, JELAJAH PULAU UTARA

Manakala makanan yang tidak cepat rosak seperti udang dan ayam pedas, sambal ikan bilis beserta nasi dimasukkan dalam bekas plastik sebelum kami menjelajah Pulau Utara New Zealand pada hari keempat.

New Zealand
Putaruru Blue Spring, New Zealand

Pada sebelah pagi kami makan dengan secukupnya sebelum meneruskan perjalanan dengan kereta selama hampir tiga jam dari Auckland ke Putaruru Blue Spring.

Tengaharinya selepas menjamah sedikit makanan kami terus memandu ke Huka Fall yang mengambil masa hampir dua jam.

Setelah hampir dua jam menikmati pemandangan yang cantik di situ, hari sudah lewat petang.

Kami meneruskan perjalanan ke Tasik Taupo dan menginap di Camellia Court Motel, Taupo, New Zealand, dengan kadar sewa NZ$90 (RM270) untuk tiga orang.

Pada sebelah malamnya bekalan makanan dipanaskan menggunakan ketuhar dan dapur yang tersedia ada di dewan makan untuk makan malam.

New Zealand
Bunga Tulip memenuhi pembahagi jalan di bandar Rotorua, New Zealand

Keesokan paginya sebelum keluar daripada motel tersebut, sekali lagi kami memanaskan makanan yang dibawa dan makan sepuasnya sebelum meneruskan perjalanan ke bandar Rotorua untuk melawat kawasan sekitar dan seterusnya ke Redwood Forest.

Pada sebelah tengahari kami teruskan pemanduan ke Matamata untuk melihat dari dekat Hobbiton Movie Set, hampir tiga jam kami berada di situ. Selepas itu pada lewat petang kami meneruskan perjalanan untuk kembali ke Auckland.

New Zealand
Hobbiton Movie Set, Matamata, New Zealand

NEW ZEALAND, BERANGKAT KE MALAYSIA

Sebelum berangkat pulang ke Malaysia sekali lagi kami memasak untuk beberapa pelajar Malaysia yang menetap di Forte Apartmen yang terletak bersebelahan dengan Universiti Auckland.
 
Perasaan gembira jelas terbayang di wajah mereka apabila menikmati masakan Malaysia. Malah ada yang terus balik ke apartmen selepas kelas tamat walaupun sejam selepas itu ada kelas lain pula.

Mereka makan dengan penuh berselera walaupun makanan yang disediakan agak ‘simple’ dan ringkas. Sudah lama tidak menikmati makanan sebegini, itulah ungkapan yang keluar daripada mulut mereka walaupun baru setahun belajar di New Zealand.

New Zealand
Bergambar bersama pelajar-pelajar Malaysia yang menghantar kami ke Lapangan Terbang Auckland, New Zealand

Mee segera dan ibu sambal yang lebih kami hadiahkan kepada mereka sebelum berangkat pulang ke tanah air.

Sesungguhnya peluang berada bersama mereka di New Zealand amat bermakna sekali. Mujurlah ibu sambal dibawa bersama sebagai bahan masakan. – D’APBROZE

New Zealand
Ibu Sambal dan Menara Sky Tower, Auckland, New Zealand
Ketahui rahsia memasak paling mudah dan cepat. 5 Minit Jer Siap! Lebih 20 Variasi masakan. Klik Di sini Sekarang
Kongsikan...

7 TIPS MEMASAK BILA MELANCONG KE LUAR NEGARA…

Kongsikan...

Melancong bersama keluarga di luar negara merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan dan tidak akan dilupakan sekembalinya daripada bercuti nanti. Oleh itu perancangan yang rapi perlu dibuat sebelum berangkat terutamanya bagaimana untuk menyediakan makanan kepada semua ahli keluarga.

Sekiranya anda memilih destinasi negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam, persolan utama perlu difikirkan ialah makanan halal. Bukan senang untuk mendapatkan makanan halal di negara-negara sebegini, kalau ada pun harganya agak mahal berbanding dengan mata wang kita.

Tambahan pula untuk mencari tempatnya mungkin mengambil masa dan lokasinya pula mungkin agak jauh daripada tempat penginapan. Bagi anda yang tidak bercadang untuk menyediakan makanan sendiri, sebaiknya tempat penginapan yang dipilih berhampiran dengan masjid. Kawasan sekitarnya pasti ada menjual makanan halal terutamanya makanan Pakistan.

Manakala sekiranya anda memilih untuk menyediakan makanan sendiri, mungkin beberapa tip di bawah boleh dijadikan panduan:

  1. Sediakan satu (1) beg untuk mengisi makanan yang akan dibawa, sebaiknya jangan campurkan makanan tersebut dalam beg pakaian. Senaraikan barangan yang dibawa dalam sekeping kertas untuk memudahkan pihak keselamatan memeriksa barangan yang dibawa apabila meminta kita ikrarkan apa yang dibawa.
  2. Pastikan makanan yang dibawa ada maklumat ramuan/ingredients. Sesetengah negara amat peka akan perkara ini, kerana ada sesetengahnya tidak membenarkan beberapa produk luar dibawa masuk seperti contoh Australia dan New Zealand yang tidak membenarkan membawa masuk sebarang produk kekacang, tenusu, madu, pisang dan buah-buahan lain, bunga cengkih dan lain-lain lagi.
  3. Pastikan anda menempah penginapan yang berkonsepkan hotel apartmen, kebanyakannya penginapan sebegini menyediakan satu ruang khas untuk memasak dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti peti sejuk besar (dalam bilik), dewan makan dengan kemudahan dapur untuk memasak, periuk, kuali, dan lain-lain lagi.
  4. Setibanya tempat menginap, dapatkan maklumat mini market atau pasar raya yang menjual makanan mentah halal, juga bagaimana hendak ke sana.
  5. Dapatkan maklumat kedai serbaneka yang menjual barangan asia, kebanyakan kedai ini memaparkan papan tanda ‘Asian Store’ yang menjual pelbagai jenis makanan yang ada di Malaysia seperti beras, ikan bilis, rempah kari, santan segera, kicap dan lain-lain lagi produk keluaran negara kita.
  6. Bawa makanan segera seperti mee segera dan lain-lain yang mengcukupi sepanjang tempoh bercuti.
  7. Bawa bersama pes segera yang kandungan bahan utamanya ialah cili kering, bawang merah dan bawang putih untuk memudahkan kerja-kerja memasak seperti contoh ‘Ibu Sambal’. Oleh itu anda tidak perlu lagi membawa bahan mentah tersebut. Pastikan produk tersebut tertera ramuan/ingredients pada labelnya bagi memudahkan pihak berkuasa mendapat maklumat.

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda bila bercuti nanti, jadikan percutian ke luar negara bersama keluarga tersayang satu nostalgia yang cukup indah. Mungkin itulah kali pertama dan terakhir kita ke sana, manfaatkan peluang yang ada semaksima mungkin. Selamat bercuti…

Tunggu artikel seterusnya pengalaman menyediakan makanan ketika bercuti selama 12 hari di New Zealand, baru-baru ini. — D’APBROZE 

Ketahui rahsia memasak paling mudah dan cepat. 5 Minit Jer Siap! Lebih 20 Variasi masakan. Klik Di sini Sekarang

 

Kongsikan...
Scroll To Top