DALCA DAGING
Sebut saja dalca daging pasti terbayang ayam masak merah, daging kurma besar seketul dan acar timun.
Dalca adalah sejenis gulai yang berwarna keemasan dan kemerahan hasil daripada pelbagai rempah-ratus yang dimasukkan ke dalamnya ketika memasak.
Kebiasaannya ia dihidangkan pada majlis kenduri di kampung-kampung dengan kapasiti untuk enam orang semeja.
Sekiranya tetamu yang hadir belum mencukupi bilangan untuk sesebuah meja, selagi itulah hidangan tidak akan diangkat.
Sambil menunggu meja dipenuhkan, tetamu berkenaan akan berbual-bual dengan tetamu lain yang hadir. Secara tidak langsung tali silaturahim bertambah akrab dan kemesraan di antara mereka makin bertambah.
Itulah budaya masyarakat Melayu pada masa dahulu, hendak makan pun kena tunggu ahli korum cukup.
Budaya sebegini mengajar masyarakatnya bersabar dan hormat menghormati antara satu sama lain tanpa mementingkan diri sendiri.
Senario begini sudah kurang kelihatan kerana ‘trend’ masa kini yang lebih mengutamakan hidangan ala buffet walaupun menu dalca daging masih ada.
Kalau masih kelihatan pun, mungkin di kampung-kampung yang masih mengamalkan konsep gotong-royong dalam menyediakan makanan untuk majlis-majlis kenduri.
Lebih 70 peratus gulai dalca daging ini menggunakan pelbagai jenis sayur-sayuran seperti terung, kacang panjang dan sayur jagung. Ada juga di sesetengah tempat menggunakan umbuk kelapa dan buah ara sebagai sayurnya.
Oleh itu, di sesetengah tempat ada juga yang memanggilnya dalca sayur kerana jumlah sayur yang digunakan adalah lebih banyak berbanding dengan daging atau lauk.
Manakala kandungan daging pula hanya lebih kurang 30 peratus sahaja. Kebiasaannya daging yang digunakan ialah daging cincang iaitu lebihan daripada daging elok yang digunakan untuk masakan lain.
Menariknya gulai dalca daging ini akan sentiasa dibimbit dalam baldi plastik kecil oleh ‘jong kako’ atau pelayan yang sentiasa mundar-mandir dari meja ke meja untuk menambah dalca tersebut apabila melihat dalca dalam pinggang mula berkurangan.
Sebab itulah, pelayan akan sentiasa membawanya dalam baldi plastik kecil sebagai hidangan tambahan.
Walaupun dalca ini menggunakan lebihan daging elok, namun rasanya memang sedap. Tengok warnanya pun sudah mengiur dan menyelerakan.
Malah ada sesetengah tetamu yang hadir memintanya diisi dalam plastik untuk dibawa pulang sebagai buah tangan. Itulah kelebihan gulai dalca daging kampung.
CARA MUDAH MASAK DALCA DAGING
Bahan asas untuk membuat dalca ini sebenarnya ialah ibu sambal, tanpanya warna agak pudar dan kurang kemerahannya.
Tambah pula bila menggunakan ibu sambal dalca daging ini akan bertambah enak dan sebati bersama rasa rempah-ratus yang lain.
Selain itu, ibu sambal ini boleh dikatakan sebagai bahan penyedap dalam masakan dalca kerana rasanya yang pedas, masam, masin dan manis.
Pendek kata dengan menggunakan ibu sambal dalca yang dimasak sudah secukup rasa tanpa perlu menambah serbuk perasa lain seperti ajinomoto dan sebagainya.
Di samping itu, ianya juga mengeluarkan aroma wangi yang menusuk ke hidung apabila setiap kali tukang masak mengacaunya.
Kebanyakan masyarakat hari ini beranggapan dalca ini sukar untuk dimasak kerana bahan-bahannya yang remeh.
Sudah sinonim di fikiran masing-masing hanya generasi lama saja yang tahu memasak dalca daging ini
Sebenarnya memasaknya cukup mudah dan senang, tidak seperti apa yang digambarkan. Mari tengok cara penyediaannya:
Bahan-bahanya;
Sedikit bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga hindi, hirisan halia, 3 biji terung, kacang panjang, sayur jagung, 1 biji tomato, 2 cili hijau, 500 gm daging lembu cincang, 1 paket rempah dalca, santan dan 3 sudu ibu sambal.
Cara membuatnya;
Tumis bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga hindi. Kemudian masukkan daging dan ibu sambal, kemudian kacau hingga sebati.
Masukkan rempah dalca, kemudian kacau dan tambah sedikit air. Masukkan halia, santan dan kacau sehingga mendidih.
Kemudian masukkan sayur (terung, sayur jagung, kacang panjang, tomato dan cili hijau). Garam dan gula secukup rasa.
Sungguh mudah, rujuk video untuk melihat cara dalca daging ringkas dimasak. Selamat mencuba menu masakan tradisional Melayu yang sedap dan lazat – D’APBROZE
Ketahui rahsia memasak dalca daging paling mudah dan cepat. 5 Minit Jer Siap! Lebih 20 Variasi masakan. Klik Di sini Sekarang |