DALCA DAGING DAN CARA PALING MUDAH MASAK DALCA…

Kongsikan...
Dalca Daging

Sebut saja dalca daging pasti terbayang ayam masak merah, daging kurma besar seketul dan acar timun.

Hidangan dalca daging ini memang tidak sah tanpa hidangan lain seperti di atas. Kebiasaannya ia dihidangkan pada majlis kenduri di kampung-kampung dengan kapasiti untuk enam orang semeja.

Menariknya gulai dalca daging akan sentiasa dibimbit dalam baldi plastik kecil oleh ‘jong kako’ atau pelayan yang sentiasa mundar-mandir dari meja ke meja untuk menambah dalca tersebut apabila melihat dalca dalam pinggang mula berkurangan.

Senario begini sudah kurang kelihatan kerana ‘trend’ masa kini yang lebih mengutamakan hidangan ala buffet. Kalau masih kelihatan pun, mungkin di kampung-kampung yang masih mengamalkan konsep gotong-royong dalam menyediakan makanan untuk majlis-majlis kenduri.

Dalca adalah sejenis gulai yang berwarna keemasan dan kemerahan hasil daripada pelbagai rempah-ratus yang dimasukkan ke dalamnya ketika memasak.

Dalca Daging

Lebih 70 peratus gulai dalca ini menggunakan pelbagai jenis sayur-sayuran seperti terung, kacang panjang dan sayur jagung. Ada juga di sesetengah tempat menggunakan umbuk kelapa dan buah ara sebagai sayurnya.

Manakala kandungan daging pula hanya lebih kurang 30 peratus sahaja. Kebiasaannya daging yang digunakan ialah daging cincang iaitu lebihan daripada daging elok yang digunakan untuk masakan lain.

Sebab itulah, pelayan akan sentiasa membawanya dalam baldi plastik kecil sebagai hidangan tambahan.

Walaupun dalca ini menggunakan lebihan daging elok, namun rasanya memang sedap. Tengok warnanya pun sudah mengiur dan menyelerakan.

Malah ada sesetengah tetamu yang hadir memintanya diisi dalam plastik untuk dibawa pulang sebagai buah tangan. Itulah kelebihan gulai dalca daging kampung.

Dalca Daging

Bahan asas untuk membuat dalca ini sebenarnya ialah ibu sambal, tanpanya warna agak pudar dan kurang kemerahannya.

Tambah pula bila menggunakan ibu sambal dalca daging ini akan bertambah enak dan sebati bersama rasa rempah-ratus yang lain.

Kebanyakan masyarakat hari ini beranggapan dalca ini sukar untuk dimasak kerana bahan-bahannya yang remeh.

Sudah sinonim di fikiran masing-masing hanya generasi lama saja yang tahu memasak dalca ini

Sebenarnya masak dalca daging ini cukup mudah dan senang, tidak seperti apa yang digambarkan. Mari tengok cara penyediaannya:

Dalca Daging

Bahan-bahanya;
Sedikit bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga hindi, hirisan halia, 3 biji terung, kacang panjang, sayur jagung, 1 biji tomato, 2 cili hijau, 500 gm daging lembu cincang, 1 paket rempah dalca, santan dan 3 sudu ibu sambal.

Cara membuatnya;
Tumis bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga hindi. Kemudian masukkan daging dan ibu sambal, kemudian kacau hingga sebati.

Masukkan rempah dalca, kemudian kacau dan tambah sedikit air. Masukkan halia, santan dan kacau sehingga mendidih.

Kemudian masukkan sayur (terung, sayur jagung, kacang panjang, tomato dan cili hijau). Garam dan gula secukup rasa.

Dalca Daging

Sungguh mudah, rujuk video untuk melihat cara dalca daging ringkas dimasak. Selamat mencuba menu masakan tradisional Melayu yang sedap dan lazat – D’APBROZE


Ketahui rahsia memasak paling mudah dan cepat. 5 Minit Jer Siap! Lebih 20 Variasi masakan. Klik Di sini Sekarang

 

Kongsikan...
Scroll To Top