RESEPI AYAM MASAK MERAH KENDURI KAMPUNG

Kongsikan...

AYAM MASAK MERAH

Ayam Masak Merah
Ayam Masak Merah 1 Bahagian

Ayam Masak Merah merupakan salah satu menu utama  pada majlis  kenduri di kampong pada suatu ketika dulu. Hidangan seolah-olah tidak lengkap tanpanya.

Kebiasaannya Ayam Masak Merah ini dihidangkan bersama daging masak kurma dan gulai dalca untuk satu hidangan. Kesemua lauk tadi dipotong dalam ketulan besar khas untuk dimakan 5 orang kecuali gulai dalca yang sedia ditambah.

Seekor ayam akan dipotong empat sebelum dimasak Ayam Masak Merah dalam kuantiti yang banyak menggunakan kawah secara gotong-royong.

Itulah keunikan masakan tradisional Melayu pada satu masa dahulu, semuanya dilakukan secara sukarela. Ikatan ukhwah sesama mereka semakin erat dengan kedengaran hilai-tawa pada setiap majlis kenduri yang diadakan sempena majlis perkahwinan.

Kini suasana sebegini sudah tiada lagi, peredaran zaman yang dilalui menyebabkan semuanya berubah. Penyediaan makanan telah diserahkan kepada penyedia perkhidmatan katering, manakala hidangan 5 orang semeja ditukar kepada stail buffet.

Ayam Masak Merah

Tiada lagi pemandangan tetamu yang hadir terus ke meja panjang yang disediakan untuk mencukupkan bilangan 5 orang, sebelum pekerja lelaki sukarela mengangkat hidangan menggunakan dulang besar.

Gelaran yang diberikan kepada mereka di sesetengah tempat berbeza, seperti contoh di Kelantan dipanggil ‘Jong Kako’. Perwatakan mereka boleh dikenali dengan menyelempangkan tuala kecil ‘Good Morning’ bewarna putih di bahu masing-masing.

Mereka akan merai tetamu yang hadir, memastikan lauk-pauk dan nasi yang disediakan mencukupi. Pendek kata mereka juga yang menjadi pelayan mewakili tuan kerja atau majlis.

Baik atau buruk layanan yang diberikan, menggambarkan layanan yang diberikan oleh tuan majlis kepada tetamu yang hadir.

Tugas tuan rumah hanya menyambut semasa ketibaan dan bersalaman dengan tetamu ketika ingin pulang selepas selesai menikmati hidangan.

Ayam Masak Merah

AYAM MASAK MERAH KENDURI KAMPUNG

Manakala tugas menyediakan Ayam Masak Merah pula dilakukan oleh kaum wanita, bermula daripada proses menyiang dengan seekor ayam dipotong kepada 4 bahagian. Kebiasaanya 100 hingga 200 ekor ayam disediakan berperingkat-peringkat.

Ayam-ayam yang telah dipotong tadi digaul dengan garam kunyit sebelum digoreng dalam kuali yang besar.

Sekumpulan kaum ibu yang lain pula sibuk memotong cili kering, mengupas bawang merah dan bawang putih untuk dikisar sebelum ditumis menjadi ibu sambal iaitu bahan asas untuk memasak  Ayam Masak Merah.

Ayam-ayam yang telah siap digoreng tadi, dimasak sekali lagi dengan memasukkanya ke dalam ibu sambal.

Baru-baru ini kami memasak Ayam Masak Merah dengan kaedah di atas menggunakan ibu sambal.

Satu ekor ayam saiz sederhana dipotong 4 bahagian, dilumur garam kunyit, kemudian digoreng sederhana garing.

Selepas itu satu labu hirisan Bawang Holland ditumis, kemudian 4 sudu besar ibu sambal dimasukkan. Sedikit air, garam dan gula ditambah, dikacau sehingga sebati.

Akhir sekali, kami masukkan ayam yang telah digoreng tadi, Ayam Masak Merah telah tersedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba resipi Ayam Masak Merah ringkas, pasti menjilat jari. – D’ APBROZE

Ketahui rahsia memasak paling mudah dan cepat. 5 Minit Jer Siap! Lebih 20 Variasi masakan. Klik Di sini Sekarang

Ayam Masak Merah

Kongsikan...
Scroll To Top