MASAKAN SIMPLE DI KHLONG HAE FLOATING MARKET…

Kongsikan...
Khlong Hae Floating Market

Pelbagai juadah masakan simple atau ringkas berwarna-warni diletak berbaris di atas bot atau sampan pada permukaan sungai yang dikenali sebagai Khlong Hae Floating Market, Hatyai, Selatan Thailand.

Keriuhan suara wanita lengkap berpakaian tradisional mempamer skil memasak makanan simple di atas bot masing-masing merupakan satu tarikkan untuk pengunjung menghampiri bot-bot dengan lebih dekat lagi.

Pemandangan yang penuh warna-warni ini bertambah menarik lagi apabila setiap urusniaga dilakukan menggunakan bakul yang diikat pada sebatang galah untuk menghulur makanan yang dipesan beserta bayarannya sekali.



Perniagaan bermula seawal jam 3 petang sehingga jam 9 malam setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad. 
Pelbagai masakkan simple seperti nasi goreng, mee goreng, sup, makanan laut, kueh-mueh, pelbagai minuman ringan dan lain-lain lagi boleh ditempah di sepanjang platform yang menempatkan kira-kira 100 buah bot yang berlabuh di situ.

Anda pasti terkejut masakan simple bergoreng yang dimasak di atas bot berkenaan boleh disiapkan dalam masa 5 hingga 10 minit walaupun dalam jumlah yang banyak.

Pasti ada rahsianya bagaimana masakan simple begitu dapat disiapkan dalam masa yang singkat. Kami memesan nasi goreng udang atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Kao Pad Khun’ dalam bahasa tempatan.

Cukup simple dan ringkas cara mereka memasaknya, bawang putih ditumis, kemudian beberapa ekor udang diletak, nasi putih dimasukkan diikuti bahan-bahan lain yang telah disediakan. Siap!!!! Nasi goreng bewarna keputihan ala Nasi Goreng Cina itu sedia untuk dimakan.



Selain itu pelbagai  jenis sosej makanan laut dicucuk pada bilahan buluh turut  dibakar di situ. Rasanya sungguh sedap apabila dicicah dengan sos pencicah Thai yang berbau harum dan wangi.


Majoriti masyarakat yang berniaga di sini adalah rakyat tempatan yang beragama Islam, ada juga di kalangan mereka penganut agama Budhha. Bagi pengunjung yang mementingkan makanan halal perlulah berhat-hati memilih makanan ringkas di situ.

Sementara itu, kemudahan tempat makan turut disediakan di kawasan sekitar dengan terdapat beberapa meja dan bangku kayu siap dengan peneduh daripada atap rumbia.



Namun, suasana kebersihan sekitar agak kurang dititk beratkan oleh pihak penganjur di mana anjing-anjing liar berkeliaran di bawah meja mencari makanan ketika pengunjung sedang menikmati makanan.

Sedikit sebanyak ini menjejaskan kebersihan kawasan sekitar, pelbagai virus bawaan anjing liar mungkin boleh merebak kepada pengunjung sekiranya perkara ini tidak dipedulikan.

Pihak berwajib seharusnya peka akan perkara ini, ramai pengunjung yang beragama Islam agak kurang selesa dengan kehadiran anjing liar di kawasan menjual makanan seperti itu walaupun harga makanan yang dijual agak berpatutan.



Keghairahan untuk menikmati makanan simple yang dimasak secara ringkas dan mod bercuti akan menjadi hambar akibat persekitaran yang kurang selesa itu –
D’APBROZE

Ketahui rahsia memasak paling mudah dan cepat. 5 Minit Jer Siap! Lebih 20 Variasi masakan. Klik Di sini Sekarang



Kongsikan...

NASI GORENG RINGKAS, PENYELAMAT PERTENGAHAN BULAN…

Kongsikan...

Sebut saja nasi goreng, pasti ramai yang tahu, malah kanak-kanak pun bila ditanya nak makan apa? Jawapan yang keluar daripada mulut mereka ialah NASI GORENG, begitulah sinonimnya makanan berkenaan di kalangan masyarakat kita.

“Nak makan apa ya hari ini, tengok lauk pun dah jemu. Hari-hari tengok benda sama jerrrr… Aaaaa nasi goreng laaa hari ini”, itulah yang selalu kedengaran bila tiada banyak pilihan terutama kepada mereka yang selalu makan di kedai.

Nasi goreng menjadi penyelamat kepada perut yang kelaparan, terutama sekali bila masuk tengah bulan. Sebab itulah setiap restoran atau warung yang menjual masakan panas, tidak sah kalau tidak mepamerkan menu nasi goreng, macam-macam menu nasi goreng yang disediakan.

Begitulah popularnya menu nasi goreng ini, ada sesetengah warung hanya menjual makanan bergoreng sahaja tetapi pelanggannya memenuhi setiap meja di sepanjang kaki lima, bandar-bandar besar setiap malam.

Tidak kira tua, muda, miskin dan kaya pasti menyukainya. Begitulah hebatnya menu ini sehingga menjadi makanan kegemaran masyarakat di Asia Tenggara. Mana saja kita pergi, memang mudah untuk mendapatkan nasi goreng.

Di sebalik kepopularitinya, tidak ramai yang tahu cara paling senang menyediakan nasi goreng yang ringkas dan sedap.

“Sebenarnya, nasi goreng ringkas ni…10 minit jerrr, dah boleh dihidangkan untuk 5 orang… Tiada masa untuk sediakan sarapan atau memasak bukan lagi alasan… Anak-anak dan suami pasti sukakannya…”, kata salah seorang tukang masak yang enggan dikenali.

Mari kita tengok bagaimana menyediakannya. Bahan-bahannya, 5 pinggang nasi putih, isi ayam, 2 biji telor, sayur-sayuran ikut cita rasa, 2 sudu besar sambal tumis. Kicap, garam serta gula secukup rasa.

Panaskan sambal tumis, masukkan isi ayam, telor dan kacau sehingga sebati. Kemudian masukkan sayur-sayuran, garam dan gula. Tambah sedikit air dan kicap, akhir sekali masukkan nasi. Kacau sehingga sebati.

Sungguh senang, ringkas dan mudah, rujuk tutorial video untuk lebih memahaminya. Selamat mencuba menu nasi goreng istimewa…– D’APBROZE

Ketahui rahsia memasak paling mudah dan cepat. 5 Minit Jer Siap! Lebih 20 Variasi masakan. Klik Di sini Sekarang

 

Kongsikan...

RM21 SEBIJI ROTI CANAI DI NEW ZEALAND…

Kongsikan...

Sambungan artikel sebelum…

Pemandangan bandar Auckland dari Viaduct Harbour

Selepas 9 jam lebih penerbangan terus dari KLIA kami berdua tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland, jam 12.30 pagi waktu tempatan, 21 Oktober, 2017. Kami hanya membawa 3 bagasi sahaja iaitu dua pakaian, manakala satu lagi berisi makanan segera, bahan-bahan untuk memasak dan sedikit ubat-ubatan seberat 7 kg.

Apabila hari siang kami menaiki kenderaan awam untuk menginap di City Lodge Accomodation, Vincent Street, Auckland. Bagi megalas perut mee segera adalah menu utama setibanya di situ.

Terdapat satu dewan makan besar yang turut menyediakan kemudahan memasak seperti dapur, periok, kuali, pinggang mangkok dan lain-lain lagi di tingkat paling bawah hotel berkenaan. Manakala di dalam bilik penginapan tersedia peti sejuk satu pintu sederhana besar.


Seorang pekerja hotel warga tempatan berdarah kacukan Filipina memberi sedikit penerangan mengenai bandar Auckland dan menghulurkan kami sekeping peta bagi memudahkan kami bergerak.   

Berpandukan peta yang diberi dan Google Maps, kami berjalan kaki sejauh kira-kira dua setengah kilometer menuju ke Forte Apartment, Symonds Street, untuk bertemu dengan anak lelaki yang belajar di Universiti Auckland. Pemergian ke Auckland sebenarnya dirahsiakan semata-mata untuk membuat satu kejutan.

Setelah bertemu dengan anak, kami dibawa berjalan sekitar pusat bandar dan singgah makan di sebuah medan selera, di Queen Street. Kawasan tersebut ada menjual pelbagai makanan Asia antaranya makanan halal Malaysia iaitu Gerai Uncle Man’s.

Pemandangan Sky Tower di Victoria Street pada pukul 8 malam waktu tempatan

Antara makanan yang terdapat di gerai itu ialah nasi lemak, nasi ayam, laksa, roti canai dan pelbagai masakan bergoreng. Kami membuat pesanan, masing-masing satu nasi lemak, nasi ayam dan nasi goreng. Bayaran dibuat sebelum makanan dihantar iaitu NZ$40 (RM120). Kami turut membuat pesanan tiga gelas teh tarik harganya NZ$21 (RM63). Setelah makanan yang dipesan itu tiba kami makan dengan penuh selera, maklumlah tidak menjamah nasi hampir satu setengah hari.

Roti canai yang dijual di situ dengan harga NZ$7 (RM21) menarik perhatian kami, apa tidaknya, ramai ‘mat salleh’ yang makan di gerai itu. Boleh dikatakan Gerai Uncle Man’s dan sebuah lagi gerai makanan Thai (tidak halal) menjadi tumpuan warga tempatan.

Pada sebelah malamnya pula perut kembali meminta-minta, nasi goreng sepinggan macam tidak mencukupi. Sekali lagi kami ke Karangahape Road tidak jauh dari City Lodge Accomodation tempat kami menginap. Macam biasalah harga untuk dua pinggang kue teow goreng NZ$28 (RM84).

Memang hati rasa puas bila dapat makan makanan yang megenyangkan, nak harapkan mee segera setiap hari, di Malaysia pun tekak jarang menelannya. Kami tidak kisah walaupun terpaksa membayar sejumlah itu untuk makanan yang ‘simple-simple’ atau ringkas. Kalau tidak sampai bila-bila pun kita tidak akan kenal tempat orang.


Cuma seperkara perlu dingat, apabila kita melancong ke negara orang, sudah pasti setiap saat yang kita lalui di sana perlu dimaksimakan aktivitinya kerana masanya agak terhad. Oleh itu ianya memerlukan kepada tenaga yang lebih, makan mesti cukup dan masa tidak terbuang begitu saja semata-mata ingin mencari restoran halal.

Atas kesedaran inilah kami mengambil keputusan pada hari kedua untuk membeli bahan mentah halal dan memasaknya sendiri. Kebetulan pula kami ada membawa enam botol ibu sambal untuk memasak menu yang biasa-biasa. Keesokan harinya, kami ke Pasar Raya PAK ‘n SAVE, Mt Albert, membeli sedikit bekalan untuk dimasak bersama pelajar-pelajar Malaysia dan selebihnya untuk bekalan kami sendiri.


Antara menu ‘simple-simple’ yang dimasak selama dua hari bersama mereka ialah kari kepala ikan salmon, gulai kambing, udang pedas, sambal ikan bilis, ayam pedas, udang kukus bertelor dan goreng sayur kacang.

Manakala makanan yang tidak cepat rosak seperti udang dan ayam pedas, sambal ikan bilis beserta nasi dimasukkan dalam bekas plastik sebelum kami menjelajah Pulau Utara pada hari keempat.

Putaruru Blue Spring

Pada sebelah pagi kami makan dengan secukupnya sebelum meneruskan perjalanan dengan kereta selama hampir tiga jam dari Auckland ke Putaruru Blue Spring. Tengaharinya selepas menjamah sedikit makanan kami terus memandu ke Huka Fall yang mengambil masa hampir dua jam. Setelah hampir dua jam menikmati pemandangan yang cantik di situ, hari sudah lewat petang.

Kami meneruskan perjalanan ke Tasik Taupo dan menginap di Camellia Court Motel dengan kadar sewa NZ$90 (RM270) untuk tiga orang. Pada sebelah malamnya bekalan makanan dipanaskan menggunakan ketuhar dan dapur yang tersedia ada di dewan makan untuk makan malam.

Bunga Tulip memenuhi pembahagi jalan di bandar Rotorua

Keesokan paginya sebelum keluar daripada motel tersebut, sekali lagi kami memanaskan makanan yang dibawa dan makan sepuasnya sebelum meneruskan perjalanan ke bandar Rotorua untuk melawat kawasan sekitar dan seterusnya ke Redwood Forest.

Pada sebelah tengahari kami teruskan pemanduan ke Matamata untuk melihat dari dekat Hobbiton Movie Set, hampir tiga jam kami berada di situ. Selepas itu pada lewat petang kami meneruskan perjalanan untuk kembali ke Auckland.

Hobbiton Movie Set

Sebelum berangkat pulang ke Malaysia sekali lagi kami memasak untuk beberapa pelajar Malaysia yang menetap di Forte Apartmen yang terletak bersebelahan dengan Universiti Auckland.
 
Perasaan gembira jelas terbayang di wajah mereka apabila menikmati masakan Malaysia. Malah ada yang terus balik ke apartmen selepas kelas tamat walaupun sejam selepas itu ada kelas lain pula. Mereka makan dengan penuh berselera walaupun makanan yang disediakan agak ‘simple’ dan ringkas. Sudah lama tidak menikmati makanan sebegini, itulah ungkapan yang keluar daripada mulut mereka.


Mee segera dan ibu sambal yang lebih kami hadiahkan kepada mereka sebelum berangkat pulang ke tanah air. Sesungguhnya peluang berada bersama mereka amat bermakna sekali. Mujurlah ibu sambal dibawa bersama sebagai bahan masakan. – D’APBROZE

Ketahui rahsia memasak paling mudah dan cepat. 5 Minit Jer Siap! Lebih 20 Variasi masakan. Klik Di sini Sekarang
Kongsikan...

7 TIPS MEMASAK BILA MELANCONG KE LUAR NEGARA…

Kongsikan...

Melancong bersama keluarga di luar negara merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan dan tidak akan dilupakan sekembalinya daripada bercuti nanti. Oleh itu perancangan yang rapi perlu dibuat sebelum berangkat terutamanya bagaimana untuk menyediakan makanan kepada semua ahli keluarga.

Sekiranya anda memilih destinasi negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam, persolan utama perlu difikirkan ialah makanan halal. Bukan senang untuk mendapatkan makanan halal di negara-negara sebegini, kalau ada pun harganya agak mahal berbanding dengan mata wang kita.

Tambahan pula untuk mencari tempatnya mungkin mengambil masa dan lokasinya pula mungkin agak jauh daripada tempat penginapan. Bagi anda yang tidak bercadang untuk menyediakan makanan sendiri, sebaiknya tempat penginapan yang dipilih berhampiran dengan masjid. Kawasan sekitarnya pasti ada menjual makanan halal terutamanya makanan Pakistan.

Manakala sekiranya anda memilih untuk menyediakan makanan sendiri, mungkin beberapa tip di bawah boleh dijadikan panduan:

  1. Sediakan satu (1) beg untuk mengisi makanan yang akan dibawa, sebaiknya jangan campurkan makanan tersebut dalam beg pakaian. Senaraikan barangan yang dibawa dalam sekeping kertas untuk memudahkan pihak keselamatan memeriksa barangan yang dibawa apabila meminta kita ikrarkan apa yang dibawa.
  2. Pastikan makanan yang dibawa ada maklumat ramuan/ingredients. Sesetengah negara amat peka akan perkara ini, kerana ada sesetengahnya tidak membenarkan beberapa produk luar dibawa masuk seperti contoh Australia dan New Zealand yang tidak membenarkan membawa masuk sebarang produk kekacang, tenusu, madu, pisang dan buah-buahan lain, bunga cengkih dan lain-lain lagi.
  3. Pastikan anda menempah penginapan yang berkonsepkan hotel apartmen, kebanyakannya penginapan sebegini menyediakan satu ruang khas untuk memasak dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti peti sejuk besar (dalam bilik), dewan makan dengan kemudahan dapur untuk memasak, periuk, kuali, dan lain-lain lagi.
  4. Setibanya tempat menginap, dapatkan maklumat mini market atau pasar raya yang menjual makanan mentah halal, juga bagaimana hendak ke sana.
  5. Dapatkan maklumat kedai serbaneka yang menjual barangan asia, kebanyakan kedai ini memaparkan papan tanda ‘Asian Store’ yang menjual pelbagai jenis makanan yang ada di Malaysia seperti beras, ikan bilis, rempah kari, santan segera, kicap dan lain-lain lagi produk keluaran negara kita.
  6. Bawa makanan segera seperti mee segera dan lain-lain yang mengcukupi sepanjang tempoh bercuti.
  7. Bawa bersama pes segera yang kandungan bahan utamanya ialah cili kering, bawang merah dan bawang putih untuk memudahkan kerja-kerja memasak seperti contoh ‘Ibu Sambal’. Oleh itu anda tidak perlu lagi membawa bahan mentah tersebut. Pastikan produk tersebut tertera ramuan/ingredients pada labelnya bagi memudahkan pihak berkuasa mendapat maklumat.

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda bila bercuti nanti, jadikan percutian ke luar negara bersama keluarga tersayang satu nostalgia yang cukup indah. Mungkin itulah kali pertama dan terakhir kita ke sana, manfaatkan peluang yang ada semaksima mungkin. Selamat bercuti…

Tunggu artikel seterusnya pengalaman menyediakan makanan ketika bercuti selama 12 hari di New Zealand, baru-baru ini. — D’APBROZE 

Ketahui rahsia memasak paling mudah dan cepat. 5 Minit Jer Siap! Lebih 20 Variasi masakan. Klik Di sini Sekarang

 

Kongsikan...
Scroll To Top